Pengakhiran Gembira Kisah Ainul Mardhiah | Life Engineering    
Ainul Mardhiah Dr Amalina Che Bakri
16 Jun, 2019

Pengakhiran Gembira Kisah Baby Ainul Mardhiah, Dr. Amalina, dan Sifat Kemanusiaan

by lfeadmin in News 0 comments

Pengakhiran Gembira Kisah Baby Ainul Mardhiah, Dr. Amalina, dan Sifat Kemanusiaan

Segala kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia, perperangan antara puak dan etnik, ketamakan syarikat gergasi memonopoli dan menindas pengguna, permainan politik kotor, kebencian antara kaum dan agama, samseng jalan raya, mahupun pergaduhan di media sosial. Apakah perkara yang membuatkan anda marah baru-baru ini?

Tenang. Kadangkala kita terlalu menjerumuskan fikiran kita ke arah isu-isu negatif yang menyesakkan. Seolah-olah dengan sengaja kita masuk ke dalam lohong hitam yang menyedut segala aspek positif dalam kehidupan. Yang tinggal hanyalah kemarahan, kebencian, putus harapan, dan kemurungan.

Kisah baby Ainul Mardhiah baru-baru ini telah menyedarkan saya bahawa dicelah-celah kekusutan, masih terdapat banyak hati-hati bersih manusia yang sangat sedia membantu manusia lain yang sedang diasak oleh ujian yang maha hebat. Dengan mengikat segala usaha kepada seutas benang harapan yang masih ada, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidapi Germ Cell Tumor telah selamat melalui pembedahan membuang ketumbuhan tersebut.

Fokus saya di sini adalah bagaimana tingginya sifat keprihatinan dan kemanusiaan yang telah membawa kepada penamat yang gembira bagi keluarga Ainul Mardhiah. Pelbagai pihak telah tampil memberi sumbangan dan bantuan kepada keluarga Ahmad Safiudin dan Nurul Erwani setelah berita tentang penyakit bayi kecil mereka yang baru berusia 6 bulan telah tersebar di media sosial awal tahun ini.

Oleh kerana kos rawatan yang tinggi perlu ditanggung oleh keluarga Ainul, arus media sosial telah membuktikan bahawa ianya mampu menjadi satu penggerak positif dalam masyarakat. Orang awam mengambil inisiatif untuk menjual barang-barang kesayangan milik perbadi seperti, kasut, pakaian, gajet, barang kemas, helmet, dan motorsikal, dan hasil jualan barang-barang tersebut disalurkan kepada Ainul untuk menampung kos rawatannya. Tidak kurang juga yang mendermakan wang tunai secara langsung melalui akaun bank Ahmad Safiuddin.

Berita kesengsaraan baby Ainul Mardhiah telah mendapat perhatian pakar bedah terkenal dari Malaysia, Dr. Amalina Che Bakri yang kini tinggal di UK. Beliau bersama kepakaran sahabat-sahabat mediknya di UK telah membuat keputusan untuk membantu adik Ainul.

Baby Ainul Mardhiah telah diterbangkan ke London diiringi sekumpulan pakar bius Malaysia. Kos perjalanannya ditanggung oleh Kerajaan Negeri Melaka, manakala urusan lojistik yang dilakukan oleh pihak Malaysia Airlines, dan pelbagai pihak lagi yang membantu segala urusan dokumentasi, penginapan, perhubungan, dan kewangan serta lain-lain keperluan keluarga itu.

Apa yang berlaku memperlihatkan bagaimana kita sememangnya dapat mengenepikan perbezaan antara satu sama lain, bersama-sama menyumbangkan apa yang ada untuk membantu insan yang dalam kesusahan. Tidak kiralah tahap kemampuan masing-masing, daripada seorang yang menyedekahkan hasil jualan kasutnya hingga kepada seorang doktor di UK yang menyumbangkan ilmunya kepakarannya, kesemuanya telah memainkan peranan yang amat penting dalam kisah ini sehingga kini Ainul Mardhiah telah selamat dibedah dan berada dalam keadaan stabil.

Ikuti perspektif Dr. Amalina Che Bakri tentang kisah Ainul Mardhiah.

Sumber ihsan Berita Harian Online

Ainul Mardhiah Dr Amalina Che Bakri
Dr Amalina tidak sabar untuk melihat Ainul Mardhiah membesar dengan sihat selepas pembedahan ini.

S: Boleh kongsi bagaimana mula mengambil kes Ainul Mardhiah.

J: Pengikut akaun sosial Instagram menghantar mesej dan e-mel kepada saya berhubung penyakit Ainul Mardhiah. Selepas mula mengetahui mengenai penyakitnya, saya meminta bantuan orang ramai di Instagram untuk berhubung dengan ibu bapanya.

Perkongsian itu mendapat perhatian ibu Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi yang membalas mesej Instagram dan di situ bermulanya misi membantu.

Saya anggap Ainul Mardhiah dan ibu bapanya seperti keluarga sendiri. Saya tidak sabar untuk melihat beliau membesar dengan sihat selepas pembedahan ini.

S: Apa yang mendorong Ainul Mardhiah dibantu?

J: Hati saya tersentuh apabila melihat gambar Ainul Mardhiah dan terpanggil untuk menolongnya. Malah, saya berjanji kepada diri sendiri, saya akan usaha sehabis baik untuk membantu bayi ini dan keluarganya.

Ibu bapa Ainul Mardhiah memaklumkan, doktor di Malaysia tidak mampu menjalankan pembedahan ke atasnya kerana be-risiko tinggi dan bayi ini juga memerlukan penjagaan paliatif yang tidak mempunyai rawatan untuk sembuh.

Justeru, ibu bapa Ainul Mardhiah terbuka untuk mendapatkan pandangan kedua daripada pihak pakar di United Kingdom (UK).

Saya bertugas di London, namun mempunyai kepakaran dalam bidang pembedahan saja. Bagaimanapun saya mempunyai ramai kenalan yang pakar dalam bidang pediatrik.

Saya berhubung dengan pasukan mereka termasuk pakar pediatrik onkologi, pakar pembedahan craniofacial atau plastik dan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) serta pakar kepala dan leher.

Selepas berbincang, kami sepakat untuk membawa Ainul Mardhiah ke London.

Ainul Mardhiah Dr Amalina Che Bakri

Pembedahan Ainul Mardhiah yang mendapat liputan meluas media dan viral di media sosial itu adalah hasil inisiatif pelatih pakar bedah warganegara Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.

S: Perjalanan membawa Ainul Mardhiah ke London khabarnya berdepan beberapa cabaran, boleh jelaskan?

J: Ya, cabarannya bermula pada awal lagi khususnya bagi membuat persediaan sebelum Ainul Mardhiah diterbangkan ke London. Antaranya rawatan perubatan bagi bayi ini.

Ainul Mardhiah juga mengalami jangkitan dada sebelum pemindahan menerusi penerbangan. Ini bermakna perjalanan itu sangat berisiko untuknya memandangkan beliau mempunyai tiub trakeostomi (di leher) untuk menyokong pernafasannya. Malah, beliau memerlukan pakar anestetik untuk memastikan perjalanan itu selamat.

Beberapa faktor ini menyebabkan usaha membawanya ke London memakan masa sedikit. Ia bertujuan memastikan bayi selamat untuk diterbangkan ke sini.

Saya berjaya menghubungi pakar bius di Malaysia, Datuk Dr Jaseemuddeen Abu Baker untuk membantunya mengisi borang perubatan.

Selain itu saya juga menghubungi Datuk Dr Razin Kamarulzaman dari Malaysia Airlines yang menguruskan penerbangan keluarga Ainul Mardhiah.

Saya ucapkan terima kasih kepada beberapa individu yang memudahkan misi ini antaranya pakar anestetik, Dr Gunalan Arumugam, pakar anestetik lain yang mengiringi keluarga, Malaysia Airlines, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Jefri Harun dari HICOM dan rakyat Malaysia di UK – Dr Fahja Ismail, Dr Najmiah Khaiessa Ahmad dan Dr Sharifah Faridah Syed Alwi, yang membantu ibu bapa Ainul Mardhiah dalam sokongan emosi dan bantuan penginapan.

S: Pembedahan Ainul Mardhiah mempunyai risikonya bagaimana Dr dan pasukan berjaya melaksanakannya?

J: Kejayaan ini adalah hasil kerjasama sepasukan pakar yang saya sebutkan tadi. Banyak perancangan, persediaan dan imbasan dilakukan bagi memastikan pembedahan ini berjaya.

Pembedahan ini diketuai oleh Dr Juling Ong dan Prof Dr David Dunway. Justeru, saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka dan seluruh pasukan.

S: Apakah perasaan sebaik pembedahan itu berjaya? Pernahkah Dr melalui detik cemas dan bolehkah Dr kongsikan?

J: Perasaan saya bercampur-baur. Saya rasa lega dan sangat gembira. Air mata kegembiraan mengiring kejayaan pembedahan ini.

Sepanjang pembedahan saya berasa cemas, terutama ketika pembedahan membuang ketumbuhan dilakukan. Ia sangat dekat dengan saluran darah penting di leher dan berisiko tinggi sehingga boleh menyebabkan pendarahan teruk. Pembedahan ini memang berisiko untuk bayi kecil seperti dia.

Ainul Mardhiah Dr Amalina Che Bakri

Dr Amalina (kiri) bersama ibu bapa Ainul Mardhiah selepas pembedahan selesai.

S: Adakah Dr Amalina akan terus membantu kes seperti Ainul Mardhiah.

J: Saya akan usaha sebaik mungkin untuk membantu selagi saya mampu.

S: Seluruh rakyat Malaysia menyanjungi Dr Amalina berikutan kes Ainul Mardhiah, masih adakah yang memberi komen serong terhadap gaya hidup anda?

J: Tak hidup (untuk) dipuji, tak mati (untuk) dikeji. Saya hanya jujur terhadap diri sendiri.

Saya akan terus menjadi seperti saya selalu lakukan dan mengabaikan perkara negatif di luar sana.

Kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Hidup akan sia-sia kalau kita membuang masa membuat perkara remeh.

Jadi saya hanya akan fokus pada kerjaya, keluarga dan orang yang saya sayang.

Share this / 分享:

Leave a comment